Petugas kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat menyemak butiran individu yang berdaftar untuk menjalani saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Jugra, Banting. Foto Facebook PKD Kuala Langat
AGENSISELANGOR

Covid-19: Empat kluster baharu babit tempat kerja

SHAH ALAM, 16 FEB: Sebanyak empat kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini membabitkan jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster itu ialah Kluster Rawang Bestari melibatkan Gombak dan Hulu Selangor yang dikesan positif bermula 8 Februari hasil saringan bersasar sebuah kilang di Rawang Integrated Industrial Park, Gombak.

“Sehingga hari ini, sejumlah 594 individu telah disaring dan 45 kes telah dikesan positif Covid-19.

“Kluster kedua pula adalah Jalan Industri Dua Belas di Petaling yang dilapor seramai 17 kes positif hari ini hasil saringan bersasar terhadap 123 pekerja kilang di Kampung Baru Sungai Buloh,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media.

Menurutnya kluster ketiga ialah Jalan Industri Tiga di Gombak melibatkan 16 positif daripada 157 individu disaring di Jalan Industri 3/4, Rawang Integrated Industrial Park, pada 7 Februari.

“Kes Kluster Jalan Lazuardi juga dikenal pasti hasil saringan di sebuah syarikat perkhidmatan di Jalan Lazuardi, Shah Alam dan 24 individu positif,” katanya.


Pengarang :