Orang ramai menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Kes harian Selangor turun kepada tiga digit

SHAH ALAM, 15 FEB: Kes positif Covid-19 di Selangor hari ini kembali kepada tiga digit dengan catatan 910 kes, kesemuanya membabitkan jangkitan tempatan.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri itu kekal merekodkan angka tertinggi dalam negara dengan 724 kes dikesan daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat.

“Jumlah ini termasuk 42 kes daripada kluster baharu iaitu kluster Jalan Cheras, kluster Jalan Tiga Belas, kluster Jalan Bursa, kluster Jalan Tropicana dan kluster Jalan Kepong.

“Baki 186 kes lagi adalah melalui lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Menurutnya, terdapat pertambahan lima kematian di negeri itu membabitkan tiga perempuan dan dua lelaki warganegara berusia lingkungan 65 hingga 96 tahun.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan sebanyak 2,243 kes sembuh hari ini menjadikan keseluruhan pulih 83,221.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 4,412 iaitu dua daripadanya jangkitan luar negara,” katanya di Facebook.

Keseluruhannya, Selangor mengumpul 87,853 kes positif sejak pandemik melanda.


Pengarang :