Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Selangor catat 1,145 kes, 12 kematian

SHAH ALAM, 3 FEB: Selangor mencatatkan 1,145 kes baharu Covid-19 semalam atau 33.1 peratus dari keseluruhan kes, kekal tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 565 kes melibatkan saringan kontak rapat, kes kluster (298), lain-lain saringan (281) dan satu kes import.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sebanyak 12 kes kematian di negeri itu membabitkan tujuh lelaki dan lima wanita, masing-masing berusia antara 36 hingga 82 tahun.

“Terdapat dua kluster baharu di Selangor iaitu kluster Jalan Ragum di Petaling dan kluster Bukit Rahman di Kuala Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan daerah Petaling merekodkan kes harian tertinggi iaitu 300 kes manakala Klang pada kedudukan kedua dengan 253 kes.

Menurut agensi, Hulu Langat mencatatkan sebanyak 214 kes, Gombak (119), Kuala Selangor (83), Kuala Langat (82), Sepang (55), Sabak Bernam (24) dan Hulu Selangor (15).

Keseluruhannya, sebanyak 70,441 kes dilaporkan di Selangor sejak pandemik menular.

 


Pengarang :