Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 16 Februari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Daftar terima vaksin Covid-19 dibuka mulai 1 Mac

PUTRAJAYA, 16 FEB: Pendaftaran untuk pemvaksinan Covid-19 mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh digunakan orang awam untuk mendaftarkan diri selain pihaknya juga  mengenal pasti kumpulan sasar bagi memastikan mereka mendapatkan vaksin itu.

“Ada lima kaedah yang kita akan kenal pasti untuk pendaftaran iaitu menggunakan sama ada aplikasi MySejahtera, laman sesawang ataupun nombor telefon,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, menurut Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini, daripada lima kaedah pendaftaran yang dikenal pasti, dua adalah pendaftaran secara dalam talian iaitu menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my .

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM membuat persediaan untuk program pemvaksinan Covid-19 sejak Ogos tahun lepas yang turut merangkumi penyediaan prasarana bagi memastikan vaksin diterima dan disimpan dengan selamat.

Beliau berkata setiap vaksin yang diluluskan penggunaannya adalah berdasarkan kajian dijalankan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan melihat kepada data kajian fasa tiga vaksin, keberkesanan dan keselamatan.

KKM juga berpendirian hanya menjalankan program imunisasi Covid-19 kepada individu berusia 18 tahun ke atas walaupun ada negara yang memberikan vaksin kepada remaja berusia 16 tahun.

“Ini kerana dari peringkat usia 16 hingga 18 tahun, tiada bukti kukuh menunjukkan vaksin boleh diguna pakai. Kita patuh pada kajian yang telah dijalankan dan melihat kepada keberkesanan dan juga kesan sampingan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat kesan sampingan susulan penggunaan vaksin, KKM akan mencatat dan melaporkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ditanya mengenai syarikat pengeluar vaksin berdaftar dengan NPRA, Dr Noor Hisham berkata pihaknya menerima dosier daripada Sinovac, Astrazeneca dan Sputnik.

“NPRA masih menjalankan penilaian terhadap keberkesanan dan kesan sampingan vaksin terutama kajian fasa tiga klinikal.

“Untuk vaksin Sputnik, kita dah beri maklum balas kepada syarikat tersebut dan soalan-soalan kita supaya mereka boleh jawab untuk kita bentangkan bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata kelulusan bersyarat mungkin diberikan kepada syarikat itu.

“Sekiranya ada kesan sampingan atau data terkini, mereka boleh menghantar semula kepada NPRA untuk penilaian,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :