AGENDAJENAYAH

Dua lelaki jual, miliki mercun dan bunga api tanpa permit ditahan

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Dua lelaki ditahan selepas didapati menjual dan memiliki mercun serta bunga api tanpa sebarang permit sah dalam serbuan di kawasan Taman Muda, Ampang Jaya di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-dua suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 10 malam dan pihaknya menemukan 156 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM1,500 dalam dua kenderaan milik mereka.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan penjualan mercun dan bunga api sebelum bergegas ke lokasi.

“Setibanya di sana, anggota polis membuat pemerhatian sebelum bertindak menghampiri kedua-dua lelaki yang sedang leka menjual pelbagai jenis mercun serta bunga api berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek yang berumur 57 dan 58 tahun itu, mereka disahkan tidak mempunyai permit menjual, memiliki mahu pun membeli bunga api yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Farouk berkata anggota polis terbabit kemudian bertindak memeriksa dua kereta jenis Toyota Camry dan Perodua Kenari yang diparkir berhampiran dan menjumpai mercun serta bunga api untuk jualan.

“Susulan itu, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan manakala kes disiasat di bawah Peraturan 74 Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923,” katanya,

– BERNAMA


Pengarang :