Jamaliah Jamaluddin meneliti keadaan pokok tembusu yang ditanam sebanyak 11 batang di kawasan SS20, Petaling Jaya. Imej dirakamkan pada 10 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Utama tanam semula 40 pokok rosak

PETALING JAYA, 10 FEB: Sebanyak 40 pokok ditanam semula dalam kawasan Bandar Utama bagi menggantikan pokok tua yang sudah rosak, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata, tindakan itu bukan sahaja untuk memelihara alam sekitar, malah mahu mengelak insiden pokok tumbang yang boleh membahayakan keselamatan penduduk.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah melaksanakan polisi tebang dan ganti, iaitu mana-mana pokok yang ditebang atas sebab kukuh maka ia perlu diganti dengan pokok baharu.

“Polisi ini dilaksanakan bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar tetapi pada masa sama mengelakkan persepsi orang ramai bahawa kita suka-suka menebang pokok besar, sedangkan sebenarnya ia mendatangkan bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi tanaman semula pokok Tembusu di Jalan SS20/10, di sini. Hadir sama Ahli Majlis MBPJ, Loyis Uding.

Pada masa sama, Jamaliah turut mengingatkan penduduk tidak merosakkan pokok-pokok yang sudah tua kerana tindakan itu boleh didakwa mengikut undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

“Jagalah pokok-pokok tua kita sebaiknya kerana ia melindungi kawasan persekitaran daripada haba dan membuatkan penempatan lebih sejuk dan mendamaikan,” katanya.


Pengarang :