Ng Sze Han (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil dari klinik, Dr Haslinda Hassan (tiga, kiri) ketika pengedaran burger kepada petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Jalan Puchong Batu 14 pada 8 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kinrara sumbang makanan untuk 800 petugas hadapan Seri Kembangan, Puchong

PUCHONG, 8 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) menyalur bantuan makanan kepada 800 petugas barisan hadapan di Seri Kembangan dan Puchong.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan dengan kerjasama Rotary Club dan Lions Club Kuala Lumpur Mega City bagi menghargai pengorbanan golongan tersebut bertugas tanpa mengira masa memerangi wabak Covid-19 di negeri ini.

“Sebenarnya sumbangan sebegini tidak pernah putus diberi kepada doktor, polis, jururawat dan ramai lagi sejak dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Selain menggunakan peruntukan sedia ada, saya juga menjalin kerjasama strategik dengan syarikat besar dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakannya,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Klinik Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan (KK) Puchong Batu 14, Dr Haslinda Hassan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Panel KK Kebangsaan dan Selangor, Datuk Dr Kannan; Presiden Jawatankuasa Rotary Kasih, Chua Keng Soon; Wakil Lions Club Kuala Lumpur Mega City, Margaret Tham dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Puchong 14, Dr Jonathan Tan Yuet Han.

Sementara itu, Dr Kannan berkata pihaknya terharu apabila sumbangan pasukan perubatan di kawasan itu dihargai wakil rakyat berkenaan.

“Ini kerana KK Puchong Batu 14 menerima lebih 1,500 pesakit dari pagi sehingga petang setiap hari. Sumbangan sebegini sekurang-kurangnya mengembirakan hati petugas yang sentiasa sibuk ketika pandemik Covid-19,” katanya.


Pengarang :