Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George (tiga, kiri) bersama wakil Majlis Perbandaran Klang (MPK) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) dalam sidang media di pejabatnya pada 22 Februari 2021.
ADNSELANGOR

DUN Sentosa bina pusat kitar semula, atasi isu sampah

KLANG, 23 FEB: Pusat kitar semula bakal dibina di Jalan Dato Dagang 31 di sini bagi mengatasi masalah lambakan sampah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, kata wakil rakyatnya.

Menurut Dr Gunaraj George tindakan berkenaan dilaksana berikutan jumlah pembuangan sampah di kawasannya meningkat saban tahun.

“Antara usaha lain yang akan dilaksanakan ialah semua pusat komersial dan kediaman dikehendaki menyediakan tong sampah masing-masing.

“Tidak ketinggalan, kita juga akan memastikan premis terbiar seperti rumah kosong tidak dijadikan sasaran lokasi pembuangan sampah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Pembersihan Yang Mantap DUN Sentosa di pusat khidmatnya semalam.

Hadir sama Pengarah Perkhidmatan Persekitaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), Zaireezal Ahmad Zainuddin dan Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof.

Mengulas lanjut, Dr Gunaraj berkata usaha berkenaan juga mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MPK dan KDEBWM.

Beliau turut menggesa supaya penduduk DUN Sentosa memberikan kerjasama supaya masalah sampah diselesaikan sepenuhnya selari dengan matlamat Selangor menuju Negeri Pintar menjelang 2025.

“Program ini tidak akan berjaya sekiranya hanya saya dan agensi yang terlibat melakukannya, oleh itu kerjasama daripada persatuan penduduk dan sebagainya amat diperlukan,” katanya.

 


Pengarang :