AGENDANASIONAL

E-LATiH tawar kursus percuma tanpa had untuk rakyat

PUTRAJAYA, 6 FEB: Hab e-pembelajaran baharu e-LATiH yang dilancarkan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menyediakan akses kepada pelbagai kandungan berasaskan pendidikan dan pembangunan kemahiran, dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh penularan Covid-19 menghadapi masa depan.

e-LATiH yang merupakan usaha sama di antara HRDF dan Go 1, antara pengagregat e-pembelajaran antarabangsa terbesar, tersedia untuk semua rakyat Malaysia bermula hari ini hingga 5 Feb 2022.

Semua rakyat Malaysia, khususnya pencari kerja, digalak mengakses kursus latihan dalam talian secara percuma itu menerusi https://elatih.hrdf.com.my/.

“Melalui kerjasama ini, e-LATiH menawarkan akses percuma kepada lebih 200 kursus latihan berasaskan keperluan industri di Malaysia. Semua kursus ini disediakan oleh sebuah pengagregat tidak berasaskan keuntungan antarabangsa, dan buat masa ini kursus ditawarkan dalam bahasa Inggeris,” demikian menurut kenyataan bersama HRDF dan Kementerian Sumber Manusia hari ini.

HRDF dijangka menawarkan lebih banyak kandungan pada minggu-minggu mendatang dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dipetik berkata inisiatif itu diadakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menerima guna amalan pembelajaran dan mendapatkan ilmu sebagai sebahagian rutin harian.

“Rakyat Malaysia perlu terus berusaha meningkatkan diri dalam dunia yang semakin berdaya saing,” katanya, menambah hanya mereka yang bersedia untuk masa depan dapat membentuk asas demi kejayaan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRDF Datuk Shahul Hameed berkata walaupun HRDF diwujudkan untuk menawarkan khidmat kepada pemegang taruh yang membayar levi, platform e-LATiH merupakan cara agensi tersebut mengembalikan faedah kepada semua rakyat Malaysia.

“Sebagai penjaga latihan dan pembangunan kemahiran di Malaysia, kami mahu menambah nilai pada kemahiran sedia ada yang dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya, menambah pekerja dan individu berpeluang memilih kursus pilihan mereka yang relevan, mencakupi pembangunan kemahiran serta perkembangan peribadi.

– BERNAMA


Pengarang :