Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri melancarkan program suntikan vaksin Covid-19 yang pertama di Selangor di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Enam hospital di Selangor jadi pusat simpanan vaksin

SHAH ALAM, 26 FEB: Enam hospital di Selangor dipilih sebagai pusat simpanan vaksin (PSV) Covid-19 sebelum diagihkan ke pusat kesihatan terpilih bagi proses suntikan.

Hospital berkenaan ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Tanjong Karang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata pemilihan dibuat selepas mengambil kira fasiliti dan bekalan elektrik mencukupi bagi memastikan vaksin sentiasa dalam keadaan baik.

Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita menggunakan sistem suis automatik dengan sebuah penjana kuasa berfungsi membekalkan sumber elektrik jika tempat tersebut mengalami gangguan bekalan,” kata Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

Semalam, beliau bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO Kerajaan Negeri dan anggota Majlis Keselamatan Negeri menerima suntikan vaksin di Hospital Shah Alam.

Sementara itu, timbalan menteri kesihatan I berkata sebanyak 56 klinik kesihatan dan 14 hospital di Selangor dikenal pasti sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurut Datuk Noor Azmi Ghazali, kemudahan lain yang terdapat di negeri ini turut dikenal pasti sebagai tempat pemberian vaksin berskala besar pada fasa kedua dan ketiga.

“Antaranya dewan orang ramai dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat serta sokongan sukarelawan bagi memastikan kejayaan program imunisasi di Selangor,” katanya menambah seramai 1,979 jurusuntik akan bertugas di seluruh negeri.


Pengarang :