AGENDANASIONAL

Episod banjir Sarawak berulang, libat 55 mangsa

KUCHING, 4 FEB: Serian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir gelombang ketiga di Sarawak apabila seramai 55 penduduk daripada dua kampung di daerah itu dipindahkan sejak petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 140 orang pagi ini.

Laporan daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menyatakan 32 mangsa daripada enam keluarga di daerah itu adalah dari Kampung Slabi Entukuh, kira-kira 70 km dari bandar raya Kuching, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan kampung berkenaan.

Kediaman 23 lagi mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Tebakang Melayu Serian, 72 km dari Kuching, turut dinaiki air dan memaksa mereka dipindahkan ke PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Tebakang, yang telah beroperasi sejak pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, seramai 77 mangsa banjir daripada 27 keluarga dari Rumah Panjang Kulleh, Nanga Embuau di daerah Song, kira-kira 110 km dari bandar Sibu, kekal di PPS SK Nanga Embuau yang diduduki mereka sejak Selasa lepas.

Di daerah Tatau, kira-kira 60 km dari bandar Bintulu, seramai lapan mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Dagang Tatau masih ditempatkan di PPS Dewan Sukan Tatau.

-BERNAMA


Pengarang :