EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian, Dato’ Teng Chang Khim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO minta Kerajaan Persekutuan salur hasil ekonomi dengan adil

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Persekutuan digesa mengagihkan perolehan hasil kewangan secara adil kepada setiap negeri.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata Kerajaan Selangor memperjuangkan isu tersebut sejak 2008 untuk menikmati peratusan pembahagian sepatutnya.

“Malah, negeri ini menyumbang 24.2 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) setiap tahun ekoran produktiviti tinggi malah pada 2020 pendapatan Malaysia adalah RM227.3 bilion yang mana sekitar RM55 bilion daripada kita,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung webinar bertajuk Hasil Cukai Pendapatan Untuk Negeri Juga, Bolehkah Malaysia Contohi Indonesia? anjuran Pertubuhan Wisdom Malaysia malam tadi.

Webinar itu dikendalikan Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Wisdom Malaysia, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau disertai panelis Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh dan Pengurus Ideas (Unit Kewangan Awam), Sri Murniati.

Chang Khim berkata peruntukan dari persekutuan juga tidak setimpal dengan hasil sumbangan negeri apabila Selangor hanya terima empat peratus dari Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) dan pembangunan infra.

Beliau berkata sekiranya Selangor mendapat hasil yang lebih sudah tentu ia boleh menjadi lebih maju berbanding ketika ini.

“Selangor digambar negeri paling kaya walhal kecekapan urus kewangan yang dilihat mewah kerana banyak program kebajikan dilaksanakan antaranya pakej rangsangan ekonomi seperti bantuan golongan B40, pendigitalan dan kesihatan.

“Jutaan ringgit dibelanjakan tetapi kita tetap berjaya uruskan kewangan dengan baik namun apa diterima balik dari persekutuan adalah kecil,” katanya.


Pengarang :