Pelajar orang kelainan upaya (OKU) Ahmad Zubaidi Helmi, 19, (kanan) yang ditemani ibu Normah Harun, 46, mengikuti sesi PdPR di Kampung Mengabang Lekor pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guru, pelajar, ibu bapa tidak dapat adaptasi PdPR

SHAH ALAM, 22 FEB: Langkah pembukaan semula sekolah disambut baik semua pihak memandangkan ramai pelajar tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Seorang pesara guru berkata pengajaran secara dalam talian menimbulkan pelbagai masalah kepada guru, pelajar dan ibu bapa kerana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru.

“Guru tiada persediaan untuk mengajar, selain terpaksa mengajar anak sendiri. Malah, mereka tidak dapat kawal pelajar yang berada di rumah.

“Pelajar luar bandar pula tidak dapat ikuti PdPR kerana tiada akses internet dan peranti. Ibu bapa yang dulunya menjadi guru kedua di rumah tertekan kerana tidak tahu kaedah mengajar,” kata Cheli Tamilselvam Nadarajah dalam bual bicara secara langsung di Facebook hari ini.

Beliau yang juga pengasas ‘The Reading Bus Club’ berkata terdapat juga kes yang mana pelajar Orang Asli yang menerima bantuan peranti tetapi menyalahgunakan alat itu untuk tujuan lain.

“Mereka diberi peranti tetapi tidak ajar gunakannya dengan betul. Malah, ibu bapa di bandar juga mengadu mata anak mereka lebam kerana terlalu lama mengadap paparan komputer,” katanya.

Bermula 20 Januari lalu, semua murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat diarah mengikuti pembelajaran melalui PdPR susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mulai 1 Mac depan, sekolah dibuka kepada murid prasekolah, tahun satu dan dua di sekolah rendah seluruh negara manakala tahun tiga, empat, lima dan enam bermula pada 8 Mac.


Pengarang :