Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 yang pertama di Selangor di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hampir 70,000 petugas hadapan Selangor terima suntikan vaksin

SHAH ALAM, 26 FEB: Seramai 66,690 petugas barisan hadapan di Selangor menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama bermula semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata suntikan awal dalam Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan peringkat negeri meliputi petugas kesihatan termasuk swasta serta anggota keselamatan di 44 daripada 70 pusat pemberian vaksin (PPV).

“Ahli Dewan Negeri, pegawai daerah serta datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan juga termasuk dalam senarai ini yang dijangka berakhir pada April atau Mei depan kerana mereka akan menguruskan pemberian vaksin pada fasa seterusnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima suntikan vaksin di Hospital Shah Alam di sini semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk memberi suntikan tersebut kepada guru memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi.

Semua individu menerima vaksin semalam akan menerima suntikan kedua pada 18 Mac di hospital sama.

Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Belgium.

Fasa pertama suntikan meliputi petugas hadapan diikuti kumpulan berisiko tinggi, warga emas, kumpulan rentan, orang kelainan upaya (OKU) dan dewasa 18 tahun ke atas.

Selangor menerima 78,000 dos vaksin Covid-19 setakat ini yang mengutamakan wakil rakyat dan petugas barisan hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasar atau berkepentingan.


Pengarang :