Penduduk kampung mengharungi banjir menggunakan sampan di Kampung Hulu Serian, Serian Sarawak pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya tiga PPS beroperasi tempatkan mangsa banjir Sarawak

KUCHING, 8 FEB: Enam lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini berikutan keadaan banjir yang semakin pulih di dua buah daerah di Sarawak dengan hanya 528 mangsa masih lagi ditempatkan di tiga PPS, berbanding 813 orang pagi tadi.

Laporan terbaharu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan tiga PPS yang masih beroperasi itu kesemuanya di daerah Serian terdiri daripada Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh dengan seramai 338 mangsa, Dewan Masyarakat Serian (148 mangsa) dan Dewan Kampung Slabi Entukuh (42 mangsa).

Dua buah PPS di daerah itu iaitu Dewan Kampung Rimba Padi dan Dewan Serbaguna Ranchan yang masing-masingnya menempatkan seramai 75 dan 35 mangsa banjir telah ditutup kira-kira pukul 1.00 tengah hari selepas mereka dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, kesemua empat PPS terakhir yang beroperasi di daerah Simunjan dalam Bahagian Samarahan turut ditutup hari ini sejak pukul 1.00 tengah hari dengan 175 mangsa juga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah terakhir mangsa banjir di daerah itu melibatkan 96 orang di PPS Dewan Mesra Simunjan, 40 orang di Dewan Kampung Entangor, Sebuyau, 27 orang di Dewan Masyarakat Lubok Buntin dan 12 orang di Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau.

– BERNAMA


Pengarang :