BUDAYARENCANA

Hanyut

Oleh Aliaa Alina

Ilustrasi oleh Matarojit

Bangi: Aku mengemas barang di meja, membelek fail-fail kerja yang akan dilupuskan memandangkan syarikat ini bakal menamatkan operasi kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kerugian. Mejamu yang berada di sebelahku sudah setahun kosong, apabila engkau terlebih dahulu diberhentikan perkhidmatan pada peringkat awal wabak ini melanda. Aku menutup suis lampu dan menoleh sebentar ke ruangan pejabat yang gelap-gelita tidak berpenghuni. Kotak itu diletakkan bersebelahan bagasi pakaian dan kunci rumah sewa sudah pun diserahkan kepada pemiliknya. Tanpa berlengah lagi, aku terus memandu pulang untuk menemuimu di Georgetown.

Shah Alam: “Di sana, rumahku menghadap lautan dan engkau boleh nampak feri yang datang dari arah Seberang Perai,” ujarmu berulang kali semasa kita berada di balkoni apartment.

Engkau sudah bertekad untuk pulang jika ada syarikat yang sudi menerimamu bekerja. Bunyi hingar-bingar kereta tidak lagi dihiraukan, matamu tertutup rapat dan bibirmu tersenyum puas membayangkan kepulanganmu di bandar lama itu..

Walaupun aku mencintaimu tetapi aku tidak pernah berkongsi cintamu terhadap lautan. Luasnya tidak bersempadan dan aku gerun memikirkan makhluk-makluk yang mungkin mendiami di segenap dasarnya yang gelap.

“Dahulu, setiap kali ibu dan ayah bertengkar, aku berlari keluar dari rumah dan menyembunyikan diri di dalam lautan. Entah mengapa, apabila tubuhku berada di dalamnya, kegusaranku hilang dan fikiran ini menjadi tenang. Seolah-olah air itu mempunyai kuasa untuk membawa kesedihanku pergi, Joanna.”

Gopeng: Aku terjaga apabila merasakan tubuhku terhenti di suatu tempat. Mata dibuka sedikit, dan mencuri pandang engkau yang merenung dari tingkap kereta ke arah sebuah rumah di seberang jalan. Tanganmu kusentuh, dan ada kesan luka-luka kecil di hujung jari kerana diketip gigi, suatu tabiat buruk dilakukan setiap kali engkau keresahan.

“Aku ingin menemuinya, tetapi aku masih tidak dapat memaafkan dia kerana tergamak meninggalkan ibu dahulu.”

“Sayang, jika engkau tidak bersedia, kita boleh kembali semula ke sini,” pujukku walaupun aku ingin benar melihatmu berdamai dengan Ayah. Malangnya, engkau masih enggan untuk berdamai dengan dirimu sendiri.

Aku menemui ayah sebulan selepas hari pengebumianmu. Kami saling bertanyakan khabar, dan rekah di wajahnya semakin jelas berbanding kali terakhir aku melihatnya. Selepas aku menceritakan tentang keinginanmu yang tidak kesampaian, dia sedu-sedan menyatakan kekesalan kerana tidak pergi menemuimu walaupun menyedari kehadiranmu di seberang jalan.

Aku segera menyentuh tangannya dan di hujung jari-jemari yang sudah berkedut, dapat dirasakan parut-parut kecil timbul di permukaannya.

Kellie’s Castle: Engkau keberatan untuk singgah di rumah ayahmu namun tanpa ragu-ragu, engkau berhenti di istana terbiar ini. Matamu galak, dan engkau ligat memicit punat kamera untuk merakam setiap inci ruang dan debu di mahligai Kellie.

“Mengapa Agnes sanggup meninggalkan sebuah istana yang dibina untuknya?” soalku ketika kita berjalan di dalam ruangnya yang sepi.

“Rumah adalah di mana jiwa kita berada, Joanna. Ia bukan lagi rumah jika hanya jasad terperangkap tetapi roh kita sedang menghuni di tempat lain.”

Ketika itu, aku kian menyedari betapa kuatnya keinginanmu untuk pulang ke rumah lama di Georgetown.

Ipoh: “Sayang?” panggilku melihat engkau termenung ketika menunggu pesanan dim sum di Taman Canning. Wajahmu gundah, engkau sudah lama berhenti tersenyum sejak menerima notis penamatan perkhidmatan di tempat kerja.

“Aku tak rasa perkahwinan kita patut diteruskan dalam keadaan sebegini,” ujarmu muram.

“Jangan bimbang, duit simpanan kita masih mencukupi untuk membayar kos perkahwinan dan engkau pasti mendapat kerja di tempat lain.”

“Joanna, sudah berpuluh syarikat dihubungi tetapi tiada satu yang membalasnya. Bagaimana jika aku menganggur lebih lama, boleh jadi setahun atau dua tahun. Siapa tahu bila wabak ini akan pergi?” balasmu dengan nada yang tinggi.

Aku terdiam, terkesima melihat kemarahanmu yang jarang timbul lantas engkau segera meminta maaf kerana gagal mengawal emosi.

“Engkau perlu meraikan minggu-minggu terakhirmu sebagai lelaki bujang di Langkawi seperti yang telah dirancang,” cadangku tetapi engkau segera menggeleng.

Aku terus memujuk bahawa tempahan resort dan bot sudah dibayar, maka ini adalah peluang yang baik untuk menenangkan dirimu yang kecelaruan. Tiada kata putus yang diberikan pada hari itu, namun beberapa minggu kemudian, engkau datang menemuiku sebelum berangkat ke sana.

“Semoga lautan dapat membersihkan kegusaran ini, seperti telah ia lakukan ketika aku kecil dahulu.”

Kita berpelukan dan aku mulai keberatan untuk membiarkan engkau pergi tetapi aku yakin bahawa engkau pasti pulang semula kepadaku.

Malangnya, lautan telah mengambil engkau buat selamanya.

Terowong Menora: Lampu berbalam-balam membuatkan aku pegun melihat diriku yang bergerak laju di dalam terowong lantas membangkitkan kegerunan klaustrofobia yang bersarang dalam diri.

Aku tidak senang duduk kerana berasa panik mendadak. Kau segera menoleh, sesekali matamu mengerling ke arah jalan yang cerun.

“Joanna,” panggilmu perlahan.

“Aku benci terperangkap di dalam ruangan tertutup,” ujarku menekup dada yang berombak kerana sukar untuk bernafas.

“Jangan bimbang, engkau selamat bersamaku.”

“Berapa lama lagi kita harus berada di dalam terowong ini?”

Engkau memegang erat stereng dan aku dapat merasakan pergerakan kereta yang semakin laju menuju keluar dari terowong. Aku beransur tenang apabila kita sudah menghampiri penghujungnya. Mungkinkah kelegaan ini turut dirasai oleh Dante setelah lelah mengharungi berlapis-lapis purgatori – dan akhirnya dia tiba jua di syurga bersama Beatrice.

Georgetown: Setelah mengetahui kehilanganmu, aku mengurung diri di dalam bilik sementara menunggu tubuhmu pulang semula kepadaku. Menurut mereka, engkau menghilang pada suatu malam dan ada saksi melihat kelibatmu bersendirian di tengah lautan. Akhbar melaporkan bahawa engkau ditarik arus yang kuat dan tubuhmu tewas dalam pergelutan itu.

Aku sudah tidak peduli tentang apa sebenarnya yang terjadi, yang pastinya aku enggan untuk mempercayai bahawa engkau memilih untuk dipusarakan di dalam lautan. Tubuhmu gagal ditemui dan aku beranggapan bahawa lautan sudah menelanmu sepenuhnya. Sehinggalah pada suatu pagi, seorang kanak-kanak lelaki menemui tubuhmu terdampar di tepi pantai di tengah bandar ini

Aku terus melangkah, sesekali dilambung ombak menjadikan aku cemas dan hilang punca. Ketakutan membuatkan aku ingin berpatah balik, tetapi tubuhku enggan menuruti kerana keinginan ini terlalu mendalam. Rumah adalah di mana jiwa kita berada, dan tiada tempat lain yang harus kutuju selain pulang ke pangkuanmu.

 

 

 


Pengarang :