Orang ramai membeli barang-barang keperluan di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur pada 8 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Harga cili merah, bawang terkawal setakat ini – KPDNHEP

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Tiada kenaikan harga bagi barang kawalan setakat ini terutamanya cili merah dan bawang menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dalam tempoh seminggu ini, kementerian tidak menerima sebarang laporan kenaikan harga barang.

“Sekarang harga cili merah itu di tahap berpatutan, tiada insiden naik harga, sebenarnya turun pula.

Harga bawang memang dah stabil, minggu lepas kami berjumpa pemborong bawang besar yang mengimport dari India dan mereka memberi jaminan bekalan bawang dalam beberapa minggu akan datang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Borong NSK Kuchai Lama di sini hari ini.

Mengulas mengenai perbincangan membenarkan sektor perniagaan yang belum dibuka untuk beroperasi semula, Nanta berkata pengumuman berita baik mungkin akan dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun beliau mengingatkan semua pihak agar mematuhi dengan ketat tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Jadi jangan risau, sebab kerajaan mengetahui keperluan perniagaan ini dibuka.

“Selama setahun kita menghadapi Covid-19, sektor dan subsektor peruncitan bukan kluster yang mencatatkan jumlah (kes Covid-19) yang besar, ia satu sektor ekonomi yang tidak setinggi kes sektor seperti pembinaan, pembuatan dan perkilangan,“ katanya.

– BERNAMA


Pengarang :