Borhan Aman Shah (tengah) menerima wau kapal Selangor yang dihasilkan Muskhan Kastudi (kiri) pada program Kita ke Kampung Edisi Kraf di Kampung Sungai Buaya, Kuala Langat pada 19 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hasil kraf wau kapal mini, kekalkan tradisi negeri

KUALA LANGAT, 20 FEB: Wau kapal mini Selangor berasaskan piuter antara produk kraftangan yang bakal diketengahkan supaya tidak lenyap ditelan zaman.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata seni lambang kemegahan rakyat negeri ini juga akan ditempatkan di lokasi pelancongan bersejarah atau muzium.

“Saya akan bincang dan beri pandangan untuk pastikan pembuat wau kapal mengeluarkan cenderamata mini bagi menjaga khazanah warisan bangsa,” kata Borhan Aman Shah pada program Kita Ke Kampung di Kampung Sungai Buaya semalam.

Dalam pada itu, beliau berbangga dengan Muskhan Kastudi atau Wak yang masih giat menghasilkan permainan tradisional demi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut Borhan, pembuat wau kapal veteran berusia 62 tahun itu menerima tempahan dari dalam dan luar negeri sejak berkecimpung dalam bidang tersebut puluhan tahun lalu.

“Saya teruja masih ada yang boleh buat wau kapal seperti Wak dan berharap generasi muda mewarisi seni ini supaya ia tidak pupus begitu sahaja,” katanya lagi.

 


Pengarang :