Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki pejabat di Bangunan SUK Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Imbas kod QR MySejahtera guna SELangkah, elak tanggapan bersaing

SHAH ALAM, 9 FEB: Ciri baharu Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang kini boleh mengimbas kod QR MySejahtera membuktikan kerjasama antara Selangor dan persekutuan.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah berkata langkah itu juga sekali gus menepis tanggapan ramai yang mendakwa kedua-dua aplikasi itu saling bersaing.

“Tanggapan SELangkah vs MySejahtera (MySJ) adalah tidak benar. Sebagai bukti kami berintegrasi, aplikasi SELangkah kini boleh mengimbas kod QR MySJ dan data dihantar kepada MySJ,” tulisnya di Twitter.

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi itu di http://selangkah.my.

Kerajaan Selangor memperkenalkan sistem itu pada 5 Mei tahun lalu bagi memudahkan pemantauan dan melindungi keselamatan pengguna susulan Covid-19.

Aplikasi itu ditambah baik dengan memperkenalkan empat ciri baharu meliputi imbasan dwisistem, daftar masuk menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS), sejarah imbasan dan paparan buletin.


Pengarang :