Selangorkini
Jurulatih Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19) Brad Maloney (tengah) turut berlatih bersama para pemain skuad kendaliannya pada Kem Latihan Pusat Skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 15 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Individu langgar SOP sukan Liga-M akan diasing – menteri

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Mana-mana individu terlibat dengan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang didapati melanggar protokol gelembung sukan akan diisolasi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata kesemua pemain dan pegawai terlibat dalam saingan Liga-M yang bakal membuka tirai pada 5 Mac ini, perlu mematuhi protokol gelembung sukan dan tatacara operasi piawai (SOP) ketat termasuk “camp-based quarantine” dan “home-based quarantine” yang ditetapkan.

“Maknanya kalau mereka mahu masuk melalui gelembung ini, mereka perlu berada dalam protokol ini, kalau mereka langgar protokol gelembung itu, maka mereka akan diasingkan, seperti dilakukan di EPL (Liga Perdana Inggeris), Bundesliga Jerman dan La Liga. Jika diisolasi, maka mereka perlu melalui kesemua prosedur seperti ujian calitan dan kuarantin selama tiga hari sebelum memasuki gelembung itu kembali.

“Pada waktu ini perbincangan juga dirujuk kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), mereka juga telah diberi pandangan supaya model yang kita buat, bukan hanya model selamat tapi praktikal,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, di sini semalam.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kelab masih terus mengadakan perbincangan dalam mencari kaedah yang paling praktikal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lepas, mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) untuk memulakan latihan menerusi konsep gelembung sukan dan SOP ketat bermula Isnin ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :