AGENDANASIONAL

Isa Samad bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya mendapati pembelaan Mohd Isa, 71, hanya merupakan penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munsabah terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata hakim Mohd Nazlan.

Hakim Mohd Nazlan berkata mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh bahawa saksi pendakwaan ke-21 (SP21) Muhammad Zahid Md Arip (bekas pegawai khas politik Mohd Isa) yang merupakan saksi berkepentingan telah mengenakan ‘implicated’ tertuduh di dalam kes ini, adalah difikirkan kemudian.

“Pembelaan tertuduh bahawa SP21 berkomplot dengan saksi lain untuk berkongsi wang RM2 juta adalah tidak bermerit dan tidak boleh diterima,” kata hakim itu.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.

– BERNAMA


Pengarang :