Pengunjung pasar tani Seksyen 13, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mematuhi jarak fizikal ketika tinjauan pada 31 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jangkitan Covid-19 di Selangor catat 1,572 kes, lima kematian

SHAH ALAM, 3 FEB: Jangkitan Covid-19 di Selangor meningkat sebanyak 427 kepada 1,572 kes hari ini berbanding 1,145 kes semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 852 kes berpunca dari kluster sedia ada termasuk 65 kes dari kluster baharu iaitu kluster Jalan City dan Jalan Aman.

“Sementara 457 kes daripada saringan kontak rapat dan 263 kes lagi daripada lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan negeri ini mencatatkan lima kematian membabitkan dua lelaki berusia 60 dan 79 tahun sementara tiga wanita berusia dari 35 hingga 41 tahun.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan sebanyak 1,776 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih 64,590.

Katanya, sehingga kini sebanyak 173 kematian dilaporkan manakala terdapat 7,250 kes aktif.


Pengarang :