Selangorkini
Kerja-kerja pengambilan sampel dilakukan petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pembuangan bahan kimia sekitar rizab Sungai Langat di Taman Seri Reko, Kajang pada 3 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

JAS buka kertas siasatan kes buang sisa kimia di Kajang

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jabatan Alam Sekitar membuka kertas siasatan berhubung kejadian pembuangan haram bahan kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang semalam, kata Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar.

Beliau berkata JAS Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemeriksaan di lokasi petang semalam mendapati terdapat 21 tong berisi larutan cecair yang berbau seperti pelarut.

“Tiada tumpahan cecair dikesan di atas tanah semasa siasatan dan tidak kelihatan sebarang cecair mengalir di atas tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlin berkata kawasan berkenaan ditutup bagi mengelak sebarang kesan bahan kimia kepada orang awam, manakala sampel bahan kimia tersebut dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada aktiviti yang ditetapkan (penstoran luar tapak) dan Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada ketua pengarah.

Siasatan turut membabitkan Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada ketua pengarah dan Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada ketua pengarah.

“Pihak JAS sedang giat memburu pelaku yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dan tangkapan akan dibuat ke atas orang yang disyaki dalam masa terdekat,” kata Norlin.

Orang awam diminta membuat aduan pencemaran secara terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong-tong berisi bahan buangan berjadual itu yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

– BERNAMA


Pengarang :