Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Jendela perpindahan pemain Liga-M dilanjut sehingga 5 Mac

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) 2021 sekali lagi dilanjutkan sehingga tarikh sepak mula saingan musim ini yang dijadualkan pada 5 Mac depan.

Ia merupakan lanjutan kali kedua dalam tempoh seminggu selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat lepas mengesahkan jendela perpindahan atau tempoh pendaftaran pertama pemain Liga-M 2021 berakhir pada 12 Feb dilanjutkan sehingga 19 Februari ini.

Mengesahkan perkembangan terkini itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelanjutan itu diluluskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas menerima permohonan rasmi badan pentadbir Liga-M tersebut sebelum ini.

Beliau berkata permohonan melanjutkan tempoh itu dibuat susulan terdapat pasukan bertanding yang menghadapi masalah terutama melibatkan pendaftaran pemain tempatan dan import selain kekangan mempersiap pasukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari ini MFL menerima surat daripada FIFA yang telah melanjutkan tempoh perpindahan pemain iaitu bermula 21 November 2020 sehingga 5 Mac 2021. FIFA juga dimaklumkan pasukan Liga-M dibenarkan mula berlatih menerusi program latihan berpusat bermula 15 Februari dalam tempoh PKP.

“Justeru, FIFA berpuas hati dengan penjelasan MFL untuk memohon lanjutan tarikh jendela perpindahan pemain sehingga 5 Mac 2021 di mana pasukan-pasukan kini memiliki masa untuk mengintai pemain-pemain baharu untuk skuad mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

MFL sebelum ini memutuskan tempoh pendaftaran pertama Liga-M akan bermula pada 21 November 2020 sehingga 12 Februari lepas sebelum ia dilanjutkan kepada 19 Februari selepas turut mendapat kebenaran FIFA baru-baru ini.

Kempen saingan Liga-M 2021 dijadual bermula 5 Mac depan dengan perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, yang menjadi aksi pembuka tirai.

– BERNAMA

 


Pengarang :