Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan seorang penghantar makanan ketika menjalankan sekatan jalan raya di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Jumlah tinggi kes sembuh, imunisasi Covid-19 beri sinar harapan

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Setelah dikejutkan dengan kes harian baharu Covid-19 melebihi lima ribu tiga hari berturut-turut, perkembangan kes koronavirus maut di Malaysia sedikit melegakan kerana diimbangi dengan kes sembuh yang agak tinggi.

Semalam, Khamis 4 Februari, jumlah kes positif baharu adalah sebanyak 4,571 sementara kes sembuh pula, 4,092. Jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini sebanyak 181,886 atau 78.6 peratus.

Pada Isnin 1 Februari, negara mencatat kes sembuh sebanyak 4,280 berbanding kes baharu sebanyak 4,214.

Pengunjung di pasar tani Seksyen 13, Shah Alam mengenakan pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial serta notis peraturan berkaitan Covid-19 yang diletakkan di gerai peniaga. Imej dirakamkan ketika tinjauan dilakukan pada 31 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan (30 Jan-4 Feb) adalah 5,728 kes (30 Jan), 5,298 kes (31 Jan), 4,214 kes (1 Feb), 3,455 kes (2 Feb), 4,284 kes (3 Feb) dan 4,571 (4 Feb). Ini menjadikan jumlah kes harian baharu sepanjang tempoh ini sebanyak 27,550 kes.

Sementara kes sembuh sepanjang 30 Jan – 4 Feb adalah 3,805 kes (30 Jan), 4,522 kes (31 Jan), 4,280 kes (1 Feb), 3,661 kes (2 Feb), 3,804 kes (3 Feb) dan 4,092 kes (4 Feb). Jumlah kes sembuh sepanjang tempoh ini adalah sebanyak 24,164 kes.

Malaysia mula mencatat kes baharu angka lima ribu pada Jumaat 29 Januari 2021 iaitu sebanyak 5,725 kes.

Berita yang mungkin menambah lagi kelegaan dan memberi harapan kepada rakyat negara ini adalah pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas ke seluruh negara petang semalam (Khamis 4 Februari) antaranya mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata sejumlah 26.5 juta (80 peratus) populasi Malaysia akan menerima vaksin Covid-19 dan ia diberikan percuma kepada rakyat Malaysia.

Terdapat tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan barisan hadapan (pertugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan) bermula Mac depan sehingga April 2021.

Fasa kedua pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Dianggarkan seramai 9.4 juta akan menerima vaksin di bawah fasa kedua bermula April hingga Ogos 2021.

Fasa ketiga pula yang dijadualkan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa Jangkitan Covid-19 di Malaysia pada Khamis 4 Februari berkata, daripada 4,571 kes baharu, sebanyak 4,568 kes adalah penularan dalam negara sementara tiga (3) adalah kes import.

Untuk kes tempatan, sebanyak 3,176 kes (69.5 peratus) melibatkan warganegara sementara 1,392 (30.5 peratus) melibatkan bukan warganegara.

Sehingga semalam (4 Februari), jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 48,771 kes, dan jumlah kes kumulatif pula melebihi 230 ribu iaitu 231,483 kes.

Malaysia kini melangkau lima anak tangga ke tangga 50 (rangkuman mingguan 23 Jan -29 Jan di tangga 55) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Croatia (234,153 kes) dan Equador (252,390 kes).

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, masih di tangga 83 dengan 89,669 kes, sementara negara jiran Singapura kekal di tangga 93 dengan 59,624 kes.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

PKP2.0 yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari, kini disambung sehingga 18 Februari 2021 untuk semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

Beban Kluster Tempat Kerja

Sehingga Khamis 4 Februari 2021, KKM mengumumkan sebanyak 861 kluster direkod di seluruh negara termasuk 10 kluster baharu dan enam daripadanya Kluster Tempat Kerja (KTK). Sebanyak 440 kluster daripada 861 kluster, diisytihar tamat.

Sebanyak 421 kluster lagi masih aktif dan dipantau dan 90 kluster daripadanya mencatat pertambahan kes baharu.

Tiga kluster yang merekod kod kes baharu tertinggi adalah Kluster Persiaran Perkilangan (362 kes), Kluster Industri Serkam (201 kes), dan Kluster Jalan Perindustrian (150 kes).

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 30 Jan – 4 Feb adalah 16 (30 Jan), 10 (31 Jan), 14 ( 1 Feb), 7 (2 Feb), 13 (3 Feb) dan 10 (4 Feb). Daripada 70 kluster yang direkod sepanjang tempoh ini, 53 kluster atau 75.7 peratus adalah KTK.

Kemunculan KTK boleh dikaitkan dengan program saringan yang dijalankan ke atas pekerja asing khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan, yang bermula sejak 1 Disember 2020.

Antara KTK yang merekod kes positif Covid-19 yang tinggi adalah pada 30 Januari 2021 adalah Kluster Tanjung Suria (567 kes) melibatkan daerah Sepang. Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor. Ini hasil saringan bermula 7 Disember, melibatkan dua (2) buah kilang. Sehingga 4 Februari, Kluster ini merekodkan sebanyak 1,092 kes.

Ada beberapa lagi KTK yang dilaporkan KKM iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Puchong (322 kes) pada 1 Februari, Kluster Tapak Bina Jalan Cheras (332 kes), Kluster Tapak Bina Muda (534 kes) pada 3 Februari dan Kluster Persiaran Perkilangan (362 kes) pada 4 Februari.

Kluster Tapak Bina Muda, pertama kali diumumkan oleh KKM pada 4 Disember 2020 dan melibatkan daerah Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehingga 4 Februari dilaporkan mencatat sebanyak 2,169 kes

Perincian Kes Covid-19 di Malaysia

Perincian 4,571 kes positif Covid-19 pada Khamis 4 Februari menunjukkan, Selangor kekal melaporkan kes terbanyak iaitu 2,056 kes. Daripada junmah itu, 631 kes daripada kluster termasuk tujuh (7) kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Jalan Industri Rawang (kilang), Kluster Jalan Gombak, dan Kluster Jalan Jasmine (dua buah kilang); 727 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; dua (2) kes import luar negara; dan 696 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Johor melaporkan 664 kes dan tiga kluster baharu – Kluster Kluster Parit Penyengat (kilang), Kluster Kampung Lukut, dan Kluster Jalan Jelutong; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 481 kes dan satu kluster baharu, Kluster Jalan Gombak (melibatkan pelajar serta petugas kesihatan di sebuah pusat pengajian tinggi di Jalan Gombak).

Sarawak mencatat 270 kes dan satu kluster baharu, Kluster Jalan Pengiran (melibatkan kakitangan sebuah pusat pentadbiran awam); Melaka 238 kes; Sabah 175 kes; Perak 163 kes; Pulau Pinang 157 kes; Negeri Sembilan 100 kes dan satu kluster baharu, Kluster Permata Satu (hasil saringan bersasar sebuah kilang); Pahang 78 kes dan dua kluster baharu, Kluster Rantau Tanjung (melibatkan satu majlis sosial) dan Kluster Kampung Pulau Jawa (hasil saringan individu bergejala).

Terengganu 69 kes; Kedah 51 kes; Kelantan 48 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya 20 kes; Wilayah Persekutuan Labuan satu (1) kes.

Sementara itu, KKM melaporkan sehingga Khamis 4 Februari 2021, sebanyak 4,092 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 181,886 kes ( 78.6 peratus).

Sementara itu, seramai 308 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 135 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan. Pada 2 Februari, kes tertinggi 327 dirawat di ICU dan 145 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 17 kes kematian dilaporkan semalam (4 Feb) dan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 826 kes.

Kes kematian paling muda dilaporkan semalam (4 Feb) adalah seorang bayi berusia empat (4) bulan di Hospital Tawau, Sabah dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Malaysia mencatat jumlah kes kematian tertinggi pada 2 Feb iaitu 21 kes, melibatkan 12 kes di Selangor, empat (4) kes di Sabah, masing-masing dua (2) kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu (1) kes di Kedah.

Kebanyakan kes pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai komplikasi kesihatan, sebahagian besarnya strok, darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 13 kes (30 Jan), 14 kes (31 Jan), 10 kes (1 Feb), 21 kes (2 Feb), 18 kes (3 Feb) dan 17 kes (4 Feb). Ini menjadikan jumlah kes kematian sepanjang tempoh rangkuman sebanyak 93 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam perkongsian dalam Facebook peribadinya hari ini berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 4 Februari 2021 untuk seluruh negara adalah 1.09.

Tiga negeri mencatat Ro/Rt tertinggi ialah Selangor dan Johor mencatat Ro/Rt, masing-masing 1.15 diikuti Sarawak 1.10.

– BERNAMA


Pengarang :