Ng Sze Han (tengah) bergambar bersama penduduk selepas membuat lawatan dan pelancaran Kampung Bagan Hailam, Perlabuhan Klang yang telah berwajah baharu pada 17 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kampung Bagan Hailam berwajah baharu, mampu tarik pelancong

PELABUHAN KLANG, 18 FEB: Pengindahan kawasan Bagan Hailam menerusi projek ‘Breath New Life’ mampu menjadikan kampung atas air itu sebagai destinasi pelancongan baharu.

EXCO pembangunan kampung baharu berkata inisiatif penduduk menghidupkan suasana harmoni dan bersih di kawasan tersebut selama dua tahun projek itu dilaksana wajar dipuji.

“Kampung Bagan Hailam ini amat strategik dan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi popular buat penggemar makanan laut.

“Saya memuji komitmen penduduk memanfaatkan kawasan ini dengan pelbagai hiasan dan tidak membuang sampah ke dalam laut seperti sebelum ini,” kata Ng Sze Han selepas lawatan ke kampung itu semalam.

Ng Sze Han (tengah) melawat pusat kitar semula ketika lawatan dan pelancaran Kampung Bagan Hailam, Perlabuhan Klang yang telah berwajah baharu pada 17 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya pembinaan kawasan kitar semula dan perpustakaan mini di kawasan itu juga amat menarik dan diharap menjadi ikutan kampung baharu yang lain.

“Penduduk di sini juga memanfaatkan tong cat 18 liter yang dilukis lalu dijadikan tong sampah dan dibekalkan di setiap rumah. Saya harap idea ini boleh diikuti penduduk di kampung baharu yang lain,” jelasnya.

Pada 2019, Kampung Bagan Hailam dengan kepadatan penduduk kira-kira 500 orang itu dijadikan sebagai projek perintis kampung atas air pertama yang diberi nafas baharu menerusi program ‘Breath New Life’ di 10 buah kampung bagan seluruh Selangor.

 


Pengarang :