Kontraktor melakukan kerja pembersihan pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 3 Febuari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM kerah 20 pekerja bersih sampah pukal di PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 3 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengerah 20 pekerja bagi membantu kerja pembersihan sampah pukal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

Pengarah urusannya berkata sebanyak 16 lori Roll On Roll Off (RORO) dan sebuah jengkaut disediakan bagi menjayakan operasi pembersihan di lapan blok bangunan berkenaan.

“Walaupun kutipan sampah pukal di PPR ini di luar bidang tugas KDEBWM tetapi kita rasa terpanggil untuk bantu berikutan sisa tersebut tidak dikutip selama sebulan.

Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir.

“Kita menjangka antara 50 hingga 60 tan sampah pukal meliputi sofa lama, tilam dan katil dikutip sepanjang operasi dari pagi hingga petang,” kata Ramli Mohd Tahir ketika memantau program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran KDEBWM di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya hari ini.

Beliau menambah berkata usaha itu sebagai bukti keprihatinan pihaknya terhadap isu longgokan sampah dan domestik yang membelenggu ribuan penghuni di sana.

Tambahnya, KDEBWM bersedia meneruskan inisiatif tersebut ke PPR Lembah Subang 2 jika ada permohonan daripada penduduk.

“Selaku syarikat mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, kita sentiasa bersedia membantu semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjadikan Selangor negeri bersih, sihat serta selamat,” katanya.

Ramli juga menyeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik segera kontraktor penyelenggaraan dan pembersihan bagi mengurus perkhidmatan itu.


Pengarang :