AGENDANASIONAL

KEADILAN sumbang RM20,000, bantu Malaysiakini bayar denda mahkamah

SHAH ALAM, 19 FEB: KEADILAN menghulur sumbangan berjumlah RM20,000 kepada portal Malaysiakini yang didenda hari ini.

Bendahari agungnya berkata bantuan terbabit merupakan tanda solidariti parti terhadap portal berita itu.

“KEADILAN menyeru seluruh rakyat menyokong kempen membayar denda Malaysiakini sebagai usaha mempertahankan kebebasan media dan hak bersuara,” kata Lee Chean Chung menerusi kenyataan.

Hari ini Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 menjatuhkan hukuman denda RM500,000 kepada portal itu atas kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Denda berkenaan diperintah dibayar dalam tempoh tiga hari mulai Isnin depan.

Pada 17 Jun tahun lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan sebelah pihak peguam negara untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat mengendali portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan.

Ia berkaitan komen lima pembaca mengenai artikel disiarkan portal itu pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.


Pengarang :