AGENSISELANGOR

Keluarga bermasalah punca salah guna dadah, gugat pembangunan insan

SHAH ALAM, 19 FEB: Keluarga tidak harmoni dan porak peranda menjadi punca kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan masalah sosial itu mampu menggugat kemajuan dan pembangunan apabila golongan remaja dan belia terlibat dengannya.

“Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan sehingga tahun lalu mendedahkan terdapat lebih 140,000 penagih direkodkan dan hampir 80 peratus terdiri mereka yang beragama Islam.

“Disebabkan itu kerajaan terpaksa membelanjakan ratusan juta ringgit bagi menangani permasalahan berkenaan namun usaha ini belum membuahkan hasil boleh dibanggakan,” kata agensi Kerajaan Negeri itu menerusi teks khutbah solat Jumaat hari ini.

Bagaimanapun, Jais berkata keadaan itu masih belum terlambat untuk ditangani sekiranya ahli keluarga terbabit mengambil beberapa langkah proaktif.

Katanya, antara pendekatan diambil adalah ibu bapa perlu membentuk keperibadian anak-anak melalui pendidikan Islam selain menjadi contoh yang baik dalam tutur kata dan tingkah laku.

“Seterusnya jalinkan hubungan baik antara ahli keluarga dan masyarakat. Sikap ambil kisah dan peduli dengan permasalahan sosial seperti dadah juga perlu diperkukuhkan,” katanya.


Pengarang :