Orang ramai beratur menunggu giliran menjalani saringan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kepung kawasan berisiko langkah baharu Selangor kekang Covid-19

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Selangor akan menggunakan strategi baharu memutuskan rantaian Covid-19 melalui tindakan pengepungan sesuatu kawasan.

Dato’ Menteri Besar berkata cadangan Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilakukan berdasarkan data semasa diperoleh aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mengenal pasti kawasan berisiko.

“Kita kena ‘potong’ perebakan wabak, tak boleh hanya ikut. Jadi bila kita dapat jangka lokaliti tertentu, kita boleh rancang langkah seterusnya.

“Cara ini pernah diaplikasikan di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya. Kita dapati banyak kes babitkan kawasan itu jadi kita kepung dan berjaya kawal wabak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program bertajuk Covid-19 Fight: Red Zone Selangor disiarkan secara langsung di Facebook Wong Chun Wai malam ini.

Menurutnya, dua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dalam komuniti akan diwujudkan minggu hadapan bagi mengasingkan pesakit positif memandangkan langkah kuarantin di rumah kurang memuaskan.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada pertemuan baru-baru ini.

“Selangor akan kesan melalui SELangkah, lakukan saringan dan sokong melalui CAC atau pusat panggilan memandangkan kes tinggi. Kita tidak mahu bebankan Kementerian Kesihatan Malaysia dan klinik,” katanya.


Pengarang :