Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan digesa kaji denda ingkar SOP, rakyat terkesan

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan diminta mengkaji semula penguatkuasaan kompaun RM10,000 terhadap pelanggar tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu hanya membebankan serta mendera rakyat memandangkan golongan berkenaan akan dikenakan denda maksimum jika melakukan kesalahan.

“Berbanding orang besar, atasan dan berdarjat tinggi. Berapa ramai dah terbukti melanggar (SOP) tetapi mereka tak dikenakan (maksimum) dan jika didenda masing-masing boleh buat rundingan.

“Saya tak mengerti kenapa kerajaan bersikap angkuh tak pedulikan rakyat. Saya bukan memandang ringan pelanggaran SOP ini kerana kesihatan harus diutamakan namun tidak bersetuju dengan pendekatan diambil,” kata ketua pembangkang itu ketika bersiaran secara langsung di Facebook malam tadi.

Menurutnya kerajaan harus lebih fokus kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan perumahan rakyat berbanding meningkatkan jumlah denda terbabit.

“Kita bimbang pengisytiharan Proklamasi Darurat hanya dibuat bagi mengelak perbahasan (ahli parlimen) selain semua keputusan dibuat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan demi kepentingan politik,” kata pengerusi Pakatan Harapan.

Khamis lalu, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, yang menetapkan individu melanggar SOP dikenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000 manakala bagi syarikat atau pertubuhan dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000 berkuat kuasa 11 Mac ini.


Pengarang :