Rodziah Ismail bercakap pada sidang media berkaitan perumahan di Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam pada 22 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri tubuh Bingkisan Mesra, bantu tiga golongan sasar

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Negeri menubuhkan anak syarikat, Bingkisan Mesra Sdn Bhd (Bingkisan Mesra) khusus untuk menyalurkan bantuan kepada warga bandar.

EXCO kesejahteraan bandar berkata sejumlah RM2.35 juta diperuntuk dengan memfokus tiga golongan sasar iaitu yang terkesan akibat wabak, bencana dan miskin.

“Syarikat ini diberi tanggungjawab mengagih bahan mentah seperti tepung, gula dan pelbagai lagi selain bantuan dapur berpusat di lokasi terpilih.

“Kita tidak tetapkan jumlah sumbangan atau penerima, semuanya akan dinilai mengikut keperluan semasa,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini.

Pada 18 Februari Dato’ Menteri Besar menyalurkan bantuan berjumlah RM4.35 juta untuk melaksanakan Program Bakul Makanan kepada golongan terjejas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain Bingkisan Mesra, sejumlah RM1 juta masing-masing diperuntuk kepada Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dan Yayasan Food Bank Malaysia untuk menjayakan inisiatif itu.

PHSSB memfokus usaha membantu seramai 2,362 penghuni Projek Perumahan Rakyat manakala seramai 6,233 pemandu teksi dan 1,601 pemandu bas sekolah di bawah tanggungjawab Yayasan Food Bank.

Sebelum ini Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan bakul makanan kepada 8,432 pemandu lori KDEB Waste Management dan 6,000 ketua rumah orang asal.

 


Pengarang :