Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Kerajaan perlu telus uruskan vaksin termasuk kos

SHAH ALAM, 26 FEB: Kerajaan diminta telus dalam menguruskan isu vaksin termasuk kos pembelian berjumlah RM2.05 bilion, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu mengetahui keseluruhan proses bagi memastikan tiada kebocoran wang serta adanya pihak yang beroleh keuntungan.

“Harus jelaskan secara menyeluruh rancangan mereka. Siapa yang akan terima (vaksin), bila terima, apa kandungan serta kesan penggunaannya.

“Setakat ini kita tidak diberi sebarang jaminan. Menteri yang bertanggungjawab hanya minta ‘percayakan kami’ sahaja,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook malam ini.

Jelas presiden KEADILAN itu, kerajaan dilihat lambat bertindak dalam usaha mendapatkan vaksin berbanding negara lain selain tidak memiliki perancangan yang jelas.

Menjadikan Indonesia sebagai contoh, Anwar berkata republik itu sudah memulakan suntikan seawal Januari lalu malah menetapkan semua 18 juta petugas hadapan disuntik sehingga April.

“Pasukan petugas hadapan kita masih belum dipastikan malah hospital menunggu vaksinasi terhadap kakitangan. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengambil masa yang lama tanpa membina kepimpinan serta mendidik rakyat.

“Jadi harus ada rencana yang jelas bukan sahaja terhadap suntikan malah kesannya. Kita harus bersedia dari sekarang, buat pengubahsuaian. Kena sedia wabak lain yang akan datang,” katanya.


Pengarang :