Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Melati, Shah Alam pada 20 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kes Covid-19 Selangor semakin menurun, catat 633 kes baharu

SHAH ALAM, 26 FEB: Jangkitan Covid-19 di Selangor terus menurun selepas 633 kes dilaporkan hari ini, namun tetap menjadi yang tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata angka itu melibatkan 28.1 peratus daripada keseluruhan 2,253 kes direkodkan.

“Sebanyak 143 kes daripada kluster sedia ada termasuk 35 jangkitan daripada empat kluster baharu.

“377 kes dikesan daripada saringan kontak rapat, 111 kes dari lain-lain saringan serta dua jangkitan luar negara menjadikan keseluruhan di Selangor sebanyak 98,117 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya terdapat pertambahan empat kematian membabitkan warga tempatan berusia 40 hingga 78 tahun.

“Tiga daripadanya mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang,” katanya.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 2,253 kes baharu dan 3,085 pesakit sembuh.


Pengarang :