Petugas kesihatan Selcare membantu proses pendaftaran orang ramai yang mengikuti program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kes harian Covid-19 di Selangor kekal bawah 1,000

SHAH ALAM, 27 FEB: Selangor merekodkan angka harian Covid-19 di bawah 1,000 selama tujuh hari berturut-turut dengan mencatat 862 kes baharu.

Negeri ini mencatat 868 kes pada 21 Februari, diikuti 910 kes, 932 kes, 581 kes, 666 kes dan 633 kes semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata daerah Hulu Langat merekod kes baharu tertinggi dengan 321, Petaling (288 kes) dan Gombak (107 kes).

“Klang pula (76 kes), Kuala Langat (36 kes), Sepang (15 kes), Kuala Selangor (13 kes), Hulu Selangor (empat kes) dan Sabak Bernam (dua kes).

“Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini adalah 98,979 dengan 3,002 daripada kes aktif,” katanya menerusi Facebook.

Pada 22 Februari, Dato’ Menteri Besar berkata kadar jangkitan Covid-19 membabitkan sektor perkilangan negeri ini dijangka berkurang sehingga 50 peratus jika majikan mematuhi sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem diperkenal Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) mampu mengenal pasti kes positif selain memastikan operasi kilang terus berjalan.

Pada 6 Januari, STFC melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster di tempat kerja. Majikan yang mendaftar hanya perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengenal pasti lokasi dan aktiviti berisiko tinggi.

Selain itu Kerajaan Negeri juga giat menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di lokasi tumpuan perebakan.


Pengarang :