Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec), Mohd Fauzan Elham. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Khidmat pesanan makanan dapurSELDEC akan dilancar

SHAH ALAM, 8 FEB: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) akan melancarkan khidmat penghantaran makanan panas dapurSELDEC dalam tempoh terdekat.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata sebagai permulaan, inisiatif tersebut menawarkan pesanan makanan dalam talian untuk Subang Jaya dan Shah Alam sebelum memperluaskannya secara berperingkat ke seluruh negeri.

“Kita hanya mengambil pesanan makanan dari restoran, penjaja atau rumah terlebih dahulu. Insya-Allah selepas ini akan diperluaskan untuk pasar pagi dan pasar malam.

“Perkhidmatan dapurSELDEC menetapkan tempoh penghantaran kepada pelanggan antara 30 minit hingga dua jam,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata industri perkhidmatan dijalankan secara dalam talian di negara ini dijangka terus meningkat pada tahun ini dan dijangka berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus memperkasa sektor ekonomi digital.

Sebelum ini Seldec turut menawarkan khidmat penghantaran barangan basah antaranya daging segar tempatan, ikan, ayam dan ayam kampung selain kuih tempatan, beras, minyak dan kambing perap.

Pada 13 Julai tahun lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata landasan perniagaan itu akan digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en .


Pengarang :