Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM buat persampelan ujian Covid-19 guna air liur – menteri

PUTRAJAYA, 18 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan ujian Covid-19 menggunakan persampelan air liur (deep throat saliva) di beberapa hospital kerajaan dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba.

Katanya, berdasarkan penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kaedah itu mempunyai sensitiviti sebanyak 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.

Selain itu, kaedah persampelan itu selamat dan tidak invasif berbanding persampelan dengan kaedah ‘nasopharyngeal’ serta ‘oropharyngeal’ swab iaitu melalui hidung dan mulut, katanya.

“KKM telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada IMR untuk gunakan kaedah persampelan guna air liur ini di fasiliti kesihatan iaitu hospital kerajaan terlebih dahulu.

“Persampelan Covid-19 melalui air liur ini juga akan mempercepat dan meningkatkan saringan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 2.7 juta picagari jenis low dead-volume berjumlah RM891,000 daripada Etiqa Family Takaful Berhad di kementeriannya di sini, hari ini.

Dr Adham berkata kaedah persampelan menggunakan air liur itu bersifat “self-collected” iaitu dikumpul sendiri dan dijangka menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Pesakit akan diminta mengeluarkan sendiri air liur ke dalam cawan spesimen dan cawan itu kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk diuji,” katanya.

Dr Adham berkata kaedah persampelan menggunakan air liur itu sesuai bagi ujian ‘Real-Time Reverse Transcriptase-PCR’ (RT-PCR) Covid-19.

“Sekarang, IMR sedang melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK antigen (RTK Ag),” katanya, sambil menambah persampelan melalui hidung dan mulut masih lagi digunakan untuk mengesan Covid-19.

Beliau berkata persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan air liur telah dijalankan di beberapa negara dan ia terbukti lebih murah dan menjadi antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten.

– BERNAMA


Pengarang :