Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

KKM kesan lima lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 15 FEB: Selangor melaporkan pertambahan lima kluster baharu Covid-19, empat daripadanya membabitkan tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Jalan Bursa melibatkan Petaling dan Klang dikesan positif bermula 4 Februari hasil saringan bersasar sebuah syarikat di Shah Alam.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan 22 daripada 66 individu disaring dalam kluster terbabit diuji positif wabak setakat ini.

“Kluster kedua iaitu kluster Jalan Kepong dilapor positif bermula 7 Februari hasil saringan bersasar sebuah kilang di Ijok, Kuala Selangor.

“Sejumlah 150 individu disaring dalam kluster ini dan 23 positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes kluster Jalan Tiga Belas pula melibatkan Petaling dan Kuala Selangor yang dikesan positif bermula 30 Januari.

Menurutnya, kes tersebut dikesan hasil saringan bersasar sebuah kilang di Jalan 13/6, Petaling Jaya dengan 11 daripada 120 individu disaring positif setakat ini.

“Kes kluster Jalan Tropicana dikenal pasti hasil saringan bersasar sebuah pasar raya di Jalan Mutiara Tropicana, Petaling Jaya dan 25 individu positif.

“Kes indeks kluster Jalan Cheras dilapor positif pada 15 Februari hasil saringan individu bergejala melibatkan pusat jagaan di Kajang,” katanya.

Perincian lapan kluster lain dalam negara:

1. Kluster Jalan Senai Utama – Kluster melibatkan Kulai di Johor
2. Kluster Jalan Jinjang – Kluster melibatkan Kepong di Kuala Lumpur
3. Kluster Tapak Bina Persiaran Mutiara – Kluster melibatkan Timur Laut di Pulau Pinang
4. Kluster Jalan Baru – Kluster melibatkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinang
5. Kluster Guntong Dalam – Kluster melibatkan Setiu dan Besut di Terengganu
6. Kluster Pengkalan Teras – Kluster melibatkan Besut di Terengganu
7. Kluster Teknologi Lot Enam – Kluster melibatkan Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah di Melaka
8. Kluster Tembok Tapah – Kluster melibatkan Batang Padang di Perak

 


Pengarang :