Vaksin selesema diberikan di tempat saringan Covid-19 di San Fernando California, Los Angeles pada 24 November 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

KKM perlu sukarelawan warga emas untuk kajian vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Warga emas berusia 60 tahun ke atas diperlukan sebagai sukarelawan bagi menyertai kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi akaun media sosial rasmi Facebook dan Twitter, memaklumkan sekitar 350 hingga 450 warga emas diperlukan bagi kajian itu yang akan turut menguji keberkesanan serta keselamatan vaksin bagi golongan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan sukarelawan warga emas yang berminat untuk menyumbang dalam pembangunan vaksin Covid-19,” menurut hantaran itu.

KKM memaklumkan individu yang berminat boleh menghubungi sembilan hospital yang terlibat iaitu Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultan Abdul Halim.

KKM turut memaklumkan kajian ini merupakan kerjasama Institut Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan pihaknya.

Menerusi hantaran sama, KKM berkata 8,162 individu berusia 18 tahun ke atas menghubungi sembilan hospital berkenaan untuk menjadi sukarelawan dalam percubaan klinikal itu, setakat Selasa lepas.

“Seramai 1,512 sukarelawan atau 50 peratus bersetuju untuk menyertai kajian ini, manakala 38 peratus sukarelawan menerima dos pertama vaksin kajian atau plasebo,” menurut hantaran itu.

– BERNAMA


Pengarang :