Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Klang di Taman Bayu Perdana pada 23 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KKM teliti beri kuasa kepada doktor swasta tangani pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti kemungkinan untuk menurunkan kuasa kepada fasiliti swasta supaya pegawai pengamal perubatan di fasiliti berkenaan boleh sama menangani pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini pengamal perubatan swasta tidak diberi kuasa menangani kes Covid-19 dan kes berkenaan dirujuk ke fasiliti kerajaan.

“Dengan penurunan kuasa ini doktor akan diberi di fasiliti swasta dibenarkan untuk mengarahkan pesakit berisiko untuk menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) dan memakaikan gelang untuk pengawasan.

“Selepas tamat HSO, mereka boleh mengeluarkan arahan pelepasan serta memotong gelang pesakit,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama ketua pengarah kesihatan siri 2/201 secara dalam talian hari ini.

Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Setakat ini terdapat hampir 100 hospital swasta seluruh negara bersedia merawat pesakit Covid-19 melalui kerjasama awam-swasta dengan kapasiti lebih 1,000 katil, 65 katil di unit rawatan rapi (ICU) dan 64 ventilator.

“Walaupun setakat ini kita belum merujuk pesakit kita ke hospital swasta, tetapi hospital-hospital ini bersedia untuk menerima pesakit Covid-19 dan setakat ini ada 86 kes sedang dirawat di hopsital swasta,” katanya.

Selain itu, KKM juga sedang mempertimbang untuk meminda Akta 586 bagi mengawal harga ujian saringan di fasiliti swasta.

“Setakat ini tiada akta khusus yang membolehkan KKM mengawal harga, namun pesakit berhak untuk dimaklumkan harga sebelum sesuatu tatacara dilakukan, bagi akta 586 sebelum ini kita gunakan untuk menetapkan harga siling pelitup muka,” katanya.

Dr Noor Hisham KKM juga sedang dalam usaha menaikkan kadar kompaun dalam Akta 342 yang ketika ini berada pada paras maksimum RM1,000.

Jumlah kompaun tersebut dilihat tidak memadai bagi syarikat perusahaan berskala besar seperti kilang yang mempunyai ratusan pekerja dan menyebabkan pandemik tersebut merebak.

– BERNAMA


Pengarang :