Longgokan sampah sebelum kerja pembersihan dilakukan pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran KDEBWM di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 3 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kutipan sampah domestik di kawasan perumahan naik 90 peratus ketika PKP

PETALING JAYA, 3 FEB: Kutipan sampah domestik dari kawasan perumahan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini meningkat sehingga 90 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata peningkatan jumlah itu dijana melalui aktiviti memasak di rumah dan tempahan makanan dalam talian.

“Kalau dulu (PKP tahun lalu), 70 peratus sampah adalah dari rumah manakala 30 peratus lagi (premis perniagaan) dan mampu mengutip sejumlah 5,200 tan sehari.

“Sekarang angka tersebut meningkat iaitu hanya 10 peratus dari kawasan komersial kerana banyak kedai makan serta restoran dibenarkan beroperasi cuma pelanggan boleh membungkus makanan tersebut,” katanya pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan sampah pukal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 hari ini.

Beliau menjelaskan walaupun situasi itu sudah dijangka berikutan arahan duduk di rumah, namun kutipan sampah berjalan seperti biasa mengikut jadual.

Ramli menambah keadaan itu juga menyebabkan pemandu lori kompaktor perlu membuat dua pusingan kutipan ekoran muatan sisa pepejal melebihi kapasiti ditetapkan.

“Lori sedia ada direka untuk mengambil sampah domestik di 2,000 hingga 2,500 rumah setiap hari tetapi apabila sampai di rumah ke 1,500 sisa pepejal sudah penuh kerana pemiliknya menjana lebih banyak sampah berbanding hari biasa.

“Bagaimanapun, kita perlu menghabiskan kutipan mengikut pusingan jadual dan sebab itu kadangkala proses kutipan oleh kru terlibat sampai ke malam,” katanya.


Pengarang :