KWSP pada 2 Disember 2020 memperincikan skim i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KWSP mansuh syarat i-Sinar, lebih ramai pencarum dibenar keluar akaun 1

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini berkenaan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar bagi memberi lebih ramai ahli bantuan kewangan melalui simpanan Akaun 1 KWSP mereka.

KWSP dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata pemansuhan kriteria i-Sinar ini akan melibatkan perubahan kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online, ini bagi memastikan permohonan boleh dibuat secara mudah dan selamat bagi membantu ahli bertahan ketika tempoh mencabar ini.

Oleh itu, KWSP amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan ini dilaksanakan, katanya.

Maklumat lanjut berkenaan perkara ini akan diumumkan oleh KWSP di saluran komunikasi rasminya. Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang mengelirukan dan tidak sahih.

– BERNAMA


Pengarang :