Anggota Polis dan tentera membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 13 Januari sehingga 26 Januari 2021 berhampiran susur keluar di Tol Subang ke Lebuhraya Utara-Selatan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Langgar SOP, orang awam digalak lapor polis – menteri

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Orang ramai digalak melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika mengetahui terdapat pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu adalah amat dialu-alukan terutama dalam membantu polis mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Maklumkan kepada polis jika melihat pelanggaran SOP. Polis misalnya ada laman web mereka untuk terima laporan dan sebagainya atau pergi sendiri ke Balai Polis dan laporkan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di Wisma Pertahanan hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri ditanya berhubung dakwaan masih ada individu yang mengadakan majlis keramaian dan tanpa rasa bersalah mengemas kini status dalam media sosial dengan memberi alasan hanya menjemput keluarga terdekat sedangkan aktiviti berkenaan dilarang ketika dalam tempoh PKP.

Sementara itu, ditanya mengenai pelanggaran SOP oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyampaikan bantuan ketika PKP, beliau berkata walaupun kerajaan sangat mengalu-alukan bantuan berkenaan, mereka tetap tertakluk kepada SOP yang digariskan.

Ismail Sabri berkata pematuhan SOP ini bukan sahaja untuk melindungi masyarakat atau kumpulan yang dibantu, tetapi juga kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.

“Jadi kalau sudah laporkan kepada polis, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :