Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan seorang penghantar makanan ketika menjalankan sekatan jalan raya di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 800 individu dikompaun, 71 direman ingkar PKP

SHAH ALAM, 14 FEB: Polis menahan 877 individu semalam atas pelbagai kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 806 dikompaun dan 71 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (253), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (177) serta aktiviti pusat hiburan (101).

“Selain itu, tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) manakala baki 166 lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 57,918 pemeriksaan semalam dengan kekuatan 14,071 anggota pasukan pematuhan.

Katanya, pemantauan dijalankan di 4,212 pasar raya, restoran (5,630), penjaja (2,385), kilang (1,570), bank (3,650) dan pejabat kerajaan (664).

“Pemantauan turut dibuat di 1,017 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (268) dan terminal pengangkutan udara (76),” katanya.


Pengarang :