Orang ramai menunggu giliran untuk mengesahkan pendaftaran sebelum dibenarkan menjalani ujian calitan pada program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang pada 27 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih banyak syarikat industri dikenal pasti guna POIS kekang Covid-19

KLANG, 27 FEB: Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) sedang mengenal pasti lebih banyak syarikat industri untuk mendaftar sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Pengurusnya Dr Ahmad Munawwar Helmi berkata tumpuan diberikan kepada syarikat industri yang beroperasi di daerah berisiko tinggi seperti Petaling, Hulu Langat dan Klang.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengekang jangkitan Covid-19 di negeri ini yang majoritinya berpunca daripada tempat kerja selain memastikan industri berjalan seperti biasa.

Pengurus Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO), Dr Ahmad Munawwar Helmi

“Ketika ini ada beberapa syarikat yang sedia bekerjasama dan mereka perlu mengamalkan setiap komponen digariskan dalam sistem ini melalui bimbingan diberikan.

“Saya percaya, jika semua industri mengikut apa disarankan POIS, kes Covid-19 boleh diselesaikan sekali gus mengelak perebakan dalam kalangan komuniti,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini hari ini.

Beliau menambah POIS bukan melibatkan saringan semata-mata sebaliknya menekankan aspek kesihatan awam di tempat kerja termasuk tempat tinggal pekerja.

“Saringan sahaja tidak mampu selesaikan kes Covid-19 untuk jangka panjang. Justeru, setiap industri perlu faham konsep POIS dan mereka ada inisiatif untuk melaksanakannya,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pula merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan saringan.


Pengarang :