Jabatan Kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing di Padang Polo George Town pada 14 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Lebih separuh kes Covid-19 dari Petaling babitkan kluster kilang

SHAH ALAM, 4 FEB: Lebih separuh jangkitan Covid-19 di Selangor hari dari Petaling dengan 1,203 kes membabitkan saringan pekerja dari kluster Persiaran Perkilangan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata mukim Damansara merekodkan kes tertinggi dengan 619 kes, diikuti mukim Petaling (341), mukim Sungai Buloh (189) dan mukim Bukit Raja (54).

“Sementara Hulu Langat menjadi daerah kedua tertinggi dengan 404 kes, majoritinya dari mukim Kajang iaitu 145 kes, diikuti mukim Cheras (92), mukim Ampang (88) dan mukim Semenyih (16).

“Klang pula 236 kes dan saringan kontak rapat menjadi penyumbang tertinggi iaitu 148 di mukim Kapar dan mukim Klang,” katanya menerusi Facebook.

JKNS turut memaklumkan Sepang dengan 71 kes jangkitan Covid-19, Gombak (53), Kuala Langat (39), Kuala Selangor (32) dan Hulu Selangor (12).

Bagaimanapun kes di Sabak Bernam meningkat kepada enam kes berbanding hanya satu semalam.

“Ia berikutan terdapat empat kes positif dikesan hasil saringan kontak rapat di mukim Panchang Bedena,” katanya.

Jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 2,056 kes hari ini berbanding 1,572 semalam manakala Malaysia merekodkan 4,092 kes baharu.


Pengarang :