BUDAYARENCANA

Lelaki yang hilang dari rumah

Oleh Nasser Mikraj

Ilustrasi oleh Matarojit

SAYA menemukan seorang lelaki rupanya sudah sekian lama bersembunyi dalam laci almari baju saya. Dia yang lengkap bersut kemas dan memeluk briefcase berwarna hitam itu terkebil-kebil memandang saya sebelum bingkas menutup kembali laci dan menguncinya dari dalam. Sehingga hari ini, sudah masuk seminggu laci itu masih berkunci dan saya masih percaya lelaki itu masih berada di dalam tanpa mahu cuba menyuruhnya keluar. Tiada apa-apa yang berubah dalam kehidupan saya selepas penemuan itu. Saya tetap perlu bangun awal pagi dan bersesak di jalan raya seperti biri-biri keluar kandang untuk ke tempat kerja. Saya juga masih bekerja untuk menunggu hujung bulan ke hujung bulan dan terus-terus bersangka baik dengan julat gaji yang menurut firasat majikan boleh menampung sehingga tujuh keturunan.

Ya, tiada apa yang berubah ketika saya pulang, laci almari itu masih terkunci dan saya masih tidak mahu memikirkan bagaimana lelaki itu boleh terus bertahan hidup di situ. Saya juga merasakan tiada keperluan untuk menghalau lelaki itu keluar apatah lagi menuduhnya sebagai penceroboh apabila kehadirannya jelas tidak mengubah apa-apa. Kesunyian yang berperut buncit tetap akan datang mengetuk pintu rumah bermula senja, melompat-lompat di katil sebelum merayap di dinding seperti seekor cicak tanpa sebarang tujuan. Bil utiliti tetap sama. Barang makanan tetap itu-itu. Saya juga masih selesa memilih siaran tv sambil sibuk menjadi sesiapa sahaja di gelanggang media sosial.

Namun suatu pagi, saya sekali lagi menemukan seorang lelaki yang lain pula bersembunyi dalam ruang sejuk beku di peti ais. Dia yang lengkap memakai serban, berjubah selain memakai kopiah lambang jabatan agama itu terketar-ketar memandang saya sambil mengisyaratkan untuk segera menutup pintu ruang itu dengan jari yang saya kira sedang menghitung bilangan zikir. Saya mula paranoid. Perasaan itu juga seakan mula menukarkan saya menjadi seekor cicak yang galak membunyikan cak cak cak di seantero ruang sebelum dilibas jatuh oleh kesunyian berperut buncit sewaktu cuba merayap pada dinding. Saya mula cega ketika membuka apa-apa atas dasar kekhuatiran akan lebih banyak penemuan dalam rumah ini dan ianya benar-benar berasas tuan puan sekalian.

Saya menemukan seorang lelaki berkot putih sambil memegang suatu alat menyerupai stetoskop dalam rak kasut. Beliau mencerlung ganas ke arah saya sebelum bingkas menyorok dalam kasut. Ketika menutup rak itu, saya mendengar suaranya seakan membebel panjang namun hanya abjad s, o dan p sahaja yang duduk terpinga-pinga dalam telinga saya. Di bilik air, seorang lelaki dengan weskot hijau pula saya temukan terumbang-umbang berpaut pada pelampung hitam dalam tangki simbah. Saya cuba menghulurkan tangan untuk membantunya namun dia segera menepis dengan kasar dan mengisyaratkan untuk segera memasang kembali penutup tangki itu. Apabila saya menekan butang simbah, nafas cungapnya begitu jelas kedengaran. Saya juga dapat merasakan ada manusia di siling rumah, dalam kotak tisu, di bawah sofa malah di mana-mana.

Perlahan saya merasakan saya ialah dandelion yang ditiup angin perubahan dalam rumah. Saya seperti terapung di seantero rumah sebelum sekali lagi dilibas jatuh oleh kesunyian berperut buncit ke lantai. Buat pertama kali selepas sekian lama, saya berasa tidak tenteram dalam rumah sendiri sehingga kalau saudara cuba membisikkan istilah ‘rumahku syurgaku’ dengan meniru gaya iklan Yusuf Taiyob, saya akan mula memusuhi saudara tanpa sebab. Saya cuba berlapang dada dan menganggap apa-apa yang saya temukan di rumah ini tidak lain sekadar jerat muslihat kesunyian berperut buncit dengan wajah menjengkelkan itu yang terus-terus ingin mengikat saya dengan gari halusinasinya. Apa? Saudara mencadangkan agar saya melaporkan sahaja kepada pihak berkuasa? Ah, dengan kehidupan yang kian menakutkan di luar sana, pihak berkuasa sendiri hampir tidak mampu menjaga diri mereka sendiri.

Saya cuba menjalani kehidupan seperti biasa, kembali digembala majikan dan kapitalis selain berasak-asak dengan sistem yang punatnya dimainkan figura berupa katak dan ular. Saya cuba menjalani rutin seperti biasa; menonton siaran tv sambil terus sibuk-sibuk menjadi sesiapa sahaja di gelanggang media sosial. Namun segala-galanya seakan janggal seolah-olah seribu kamera litar tertutup diacu hanya untuk mengamati setiap pergerakan saya. Saya terkebil-kebil seperti seekor rakun yang terperangkap dalam rumah sampah di tengah-tengah ruang tamu sebelum diselamatkan oleh kerasionalan fikiran saya sendiri. Bagaimana saya ingin mengubah apa yang saya tidak persetujui dengan sistem kehidupan di luar sana kalau di rumah sendiri saya takut untuk bersuara? Ya, sebagai penanggung bil terbesar di rumah ini, saya mempunyai hak menentukan iklim di rumah ini harus beredar bagaimana. Entah semangat melawan dari mana sekonyong-konyong datang meradung segala ketakutan yang enggan keluar dari rumah termasuklah kesunyian berperut buncit yang baru ingin memanjat dinding.

Sambil mengepal penumbuk, saya meluru ke kamar terlebih dahulu dan membuka laci almari kasar sebelum mendapati ia kosong. Saya bergegas pula ke arah peti sejuk, tangki simbah, rak kasut malah menyelongkar hampir segenap isi rumah, tetapi tiada seorangpun yang dijumpai. Saya terduduk kembali di sofa seperti melihat satu bebola salji besar berguling-guling menabrak api kemarahan yang marak. Ah, mungkin saja mereka telah lari. Saya menyimpul senyum dan ingin terus menghebahkan ‘kemenangan’ ini ke media sosial sebelum pantulan dari skrin telefon memperlihatkan wajah saya yang pelbagai seperti wajah lelaki-lelaki yang hilang dari rumah.

 


Pengarang :