Keadaan lalu lintas agak lengang berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan Media Selangor di Jalan Cheras – Kajang pada 15 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lima kluster dikesan di Selangor babit tempat kerja

SHAH ALAM, 18 FEB: Sebanyak lima kluster direkodkan di Selangor hari ini membabitkan jangkitan di tempat kerja, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut adalah Kluster Jalan Bukit Kemuning di Klang yang dilapor positif hari ini.

“Kes itu hasil saringan bersasar terhadap 147 pekerja sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Jalan Bukit Kemuning. Sebanyak 55 kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster kedua pula adalah Kluster Jalan Industri Kidamai melibatkan saringan bersasar 510 pekerja kilang di Hulu Langat dan 22 kes dilapor positif pada 14 Februari,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, menurutnya Kluster ketiga iaitu Kluster Jalan Jitu di Klang membabitkan saringan 516 pekerja kilang dan 39 kes dikesan positif setakat semalam.

“Kluster Jalan Hulu Tinggi pula dilapor positif Covid-19 pada 26 Januari hasil saringan pekerja sebuah kilang di Jalan Hulu Tinggi, Kawasan Perindustrian HICOM, Shah Alam.

“Seramai 800 disaring dan 61 didapati positif. Sementara Kluster Mayang pula positif sejak 7 Februari melibatkan seramai 24 individu,” katanya.

Hari ini, kes di Selangor mencatatkan 1,013 dengan jumlah keseluruhan adalah 91,548 kes.

 


Pengarang :