AGENSISELANGOR

Mais lancar kempen salur wang tidak patuh syariah kepada Baitulmal

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini melancarkan Kempen Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah kepada Baitulmal institusi itu bagi memberi kesedaran supaya orang ramai bijak menguruskan harta seperti dituntut syarak.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kempen dijalankan menerusi platform media sosial institusi berkenaan sepanjang Rejab 1442H itu bertujuan mengajak orang ramai membersihkan harta agar kehidupan mendapat keberkatan.

Menurut beliau Wang Tidak Patuh Syariah merupakan wang atau harta yang diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi atau rompakan, duit rasuah dan loteri serta pelindungan insurans konvensional.

“Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta umat Islam, Mais berperanan untuk menyampaikan maklumat serta pengetahuan betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.

“Semoga seluruh umat Islam dapat memanfaatkan bulan Rejab ini dengan menyucikan harta melalui pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah kepada Baitulmal Mais dan mudah-mudahan diberkati oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain hebahan mengenai kempen itu, Mais juga melaksanakan pelbagai program berkaitan secara dalam talian antaranya webinar kesedaran mencari rezeki halal dan kuliah di masjid serta surau.

Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Abdul Aziz dengan penyerahan poster berkaitan kepada Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar sebagai simbolik, dalam satu acara ringkas hari ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai aktiviti kempen berkenaan boleh mengikuti Facebook Mais dan proses melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah dilakukan menerusi laman web https://www.mais.gov.my/wang-tak-patuh-syariah/.

– BERNAMA


Pengarang :