Selangorkini
Seorang kakitangan perubatan mengisi jarum suntik dengan dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Perubatan Tokyo, Jepun pada 17 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majikan digesa didik pekerja manfaat suntikan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa para majikan untuk mendidik dan menggalakkan pekerja mereka mengenai manfaat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan untuk memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi meningkatkan keyakinan ke arah pemulihan ekonomi yang lebih pantas.

“MEF ingin menasihatkan semua pekerja terutamanya mereka yang tinggal di asrama pekerja untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan kami yakin majikan akan melaksanakan vaksinasi terhadap pekerja mereka seperti yang dikehendaki kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Syed Hussain berkata kunci bagi menjayakan imuniti kelompok dengan lebih 80 peratus penduduk yang tinggal di Malaysia adalah pelaksanaan program vaksinasi yang berjaya.

“Sebagai majikan yang bertanggungjawab, kita perlu memberi penerangan kepada kakitangan kita mengenai manfaat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kita boleh mendapatkan sokongan daripada Kementerian Kesihatan sekiranya diperlukan,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :